Setuju Tukar Nama Persatuan Kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia

PETALING JAYA: Perubahan nama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia telah dipersetujui dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang berlangsung pada 28 Jun 2025.

Menurut presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan, langkah itu bertujuan menyeragamkan nama badan induk itu dengan organisasi sukan lain yang menggunakan istilah “Persekutuan” bagi mencerminkan peranan sebagai pentadbir utama sukan sepak takraw di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Walaupun nama rasmi akan berubah, singkatan ‘PSM’ akan dikekalkan.

Namun, perubahan itu hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan serentak, Datuk Sumali kekal sebagai presiden tanpa bertanding bagi penggal 2025–2028.

Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dipilih sebagai timbalan presiden, manakala tiga jawatan naib presiden disandang oleh Datuk Abu Jimi Samat, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Wan Mohd Husni Abdullah.

Anda Mungkin Berminat