SG4 bermotif politik, bukan perniagaan – Puad

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan penubuhan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd yang dimiliki empat negeri pembangkang adalah bersifat politik dan bukannya perniagaan.

Puad berkata hakikat tersebut lebih jelas apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak sebagai penasihat kepada syarikat terbabit.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan apa akan terjadi kepada syarikat tersebut sekiranya pentadbiran empat negeri terbabit iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis bertukar tangan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ujarnya, bukan mustahil untuk Barisan Nasional (BN) merampas semula negeri berkenaan khususnya Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Akan timbul banyak masalah baik dari segi pekerja, aset, saham dan lembaga pengarah. Tidak pernah empat negeri berkongsi buat satu syarikat.

“Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi) pula tidak suka kongsi-kongsi. Takut Sanusi kata, Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Semalam, Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri atau State Goverment 4 (SG4) mengumumkan pelabur terawal adalah dari Korea dan Jepun.

Mereka juga kini dalam usaha untuk membawa masuk pelaburan dari China.

Syarikat itu juga akan berkongsi serta mengagihkan hasil kekayaan secara sama rata.

Anda Mungkin Berminat