PETALING JAYA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli bersetuju dengan idea Ketua Panel Penasihat Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4), Tun Dr Mahathir untuk menubuhkan syarikat SG4 bagi memastikan unsur nadir bumi (REE) di empat negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) pembangkang berkenaan dapat diproses sebelum ianya dieskport.
Menurutnya, perkara berkenaan akan menimbulkan persaingan sihat di antara Kerajaan Persekutuan dan pembangkang terutama dalam pelumbaan mendapatkan pelaburan dan teknologi pemprosesan REE di negara ini.
Namun kata Rafizi, hasrat yang dinyatakan oleh pembangkang itu hanya akan menjadi sia-sia sekiranya tiada usaha untuk membawa masuk pelabur bagi berkongsi teknologi pemprosesan REE dengan membuka kilang di negara ini.
“Kemampuan sebenar Tun Mahathir akan terserlah sekiranya beliau berjaya membawa satu pelaburan asing yang membawa teknologi pemprosesan REE untuk dikongsi di sebuah kilang di Malaysia.
“Saya yakin ini persaingan yang sihat. Kerajaan Persekutuan dan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir empat buah negeri ini berlumba-lumba membuktikan siapa yang paling handal membawa teknologi pemprosesan REE ke Malaysia.

“Jika tidak, rancangan yang diumumkan di Bangi (Sidang Kemuncak SG4) itu hanya kekal menjadi hasrat sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan sebuah syarikat dinamakan SG4 Sdn Bhd mewakili empat buah negeri di bawah pemerintahan PN yang akan menumpukan pembahagian kekayaan antara negeri-negeri itu dengan adil dan tumpuan utama industri adalah REE.
Tambah Rafizi, idea penubuhan syarikat pemprosesan REE sebelum ini telah pun dibincangkan di peringkat Kerajaan Persekutuan yang turut disertai oleh negeri-negeri pembangkang, namun ianya terhalang disebabkan oleh penguasaan industri REE oleh negara China.
“Cuma ada satu masalah sahaja. Industri REE ini dikuasai hampir 90 peratus oleh negara China.
“Teknologi untuk memproses REE hanya dimiliki oleh syarikat-syarikat milik kerajaan China. Hanya ada beberapa buah syarikat bukan China yang mempunyai teknologi ini,” jelasnya.