Shah Alam boleh ganti jika Himpunan Rakyat Benci Rasuah dihalang

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pemuda AMANAH menyokong penuh penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan pada Sabtu ini di Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Danial Al-Rashid berkata, himpunan ini penting kerana ia menunjukkan kesungguhan generasi muda dalam menolak rasuah dan membina masa depan yang lebih bersih dan telus untuk negara.

“Gerakan ini selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai keadilan, integriti, dan kesejahteraan rakyat.

“Anak muda hari ini perlu menjadi suara utama dalam usaha membanteras rasuah dan memastikan negara kita bebas daripada amalan korupsi yang membinasakan.

“Himpunan ini adalah langkah penting untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahaya rasuah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Danial berkata, sekiranya terdapat halangan untuk mengadakan himpunan itu, beliau mengalu-alukan program tersebut diadakan di Shah Alam dan bersedia menjadi moderator sekiranya ada forum atau ceramah terbuka.

Ujarnya, Shah Alam adalah tempat yang tepat untuk memperjuangkan nilai-nilai integriti dan keadilan sosial yang menjadi asas pembangunan negara.

“Sekali lagi, saya ingin menekankan bahawa himpunan ini tidak terhad kepada mana-mana parti politik, tetapi lebih luas kepada kepentingan dan kesejahteraan negara.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutama golongan muda, untuk bersama-sama menyokong Himpunan Rakyat Benci Rasuah ini dan memerangi gejala rasuah. Belia Benci Rasuah!,” katanya.

Sebelum ini, polis dilaporkan telah menerima Notis Pemberitahuan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang bermula dari pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman memaklumkan, semakan mendapati Notis Pemberitahuan perhimpunan tersebut tidak lengkap kerana tiada salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan dilampirkan.

Katanya, respons terhadap Notis Pemberitahuan perhimpunan tersebut telah diberikan kepada penganjur supaya memenuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 pada Jumaat lalu.

Sulizmie Affendy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang atau tindakan tegas bakal diambil.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat