Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, terus menegaskan pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah selepas didakwa dengan empat pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM176,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dalam sidang media selepas prosiding, peguam yang mewakili beliau, Datuk Amer Hamzah Arsyad berkata, anak guamnya berikrar mempertahankan nama baiknya dan menafikan semua pertuduhan.
“Tapi untuk pagi ini, kami juga ingin memaklumkan bahawa Datuk Seri Samsul Iskandar pada setiap masa telah mengekalkan prinsipnya bahawa beliau tidak bersalah.
“Beliau sejurus selepas berita atau tohmahan berita ataupun tomahan dan beliau telah membuat laporan polis, di Sandakan semasa beliau berada di Sabah untuk kempen,” katanya.
Amer Hamzah menambah, Shamsul yang juga Ketua Cabang PKR Melaka akan kekal mempertahankan dirinya daripada segala dakwaan.
“Shamsul Iskandar akan mempertahankan kesnya dan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah dengan dakwaan-dakwaan dan tohmahan-tohmahan yang telah dilemparkan ke atasnya,” katanya.
Sementara itu, peguam kedua, Yusmadi Yusuf, menekankan bahawa anak guamnya mahu membuktikan kebenaran melalui proses undang-undang yang sah.
“Kes ini baru bermula, tak perlu kita berspekulasi kerana saya lihat banyak juga komen-komen yang saya rasa melampaui batas dan saya tidak teragak-agak untuk melihat mana-mana komen komen yang melampaui daripada apa yang sepatutnya,” katanya.
Mahkamah membenarkan Shamsul diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin warga Malaysia.
Beliau turut diarahkan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi.
Shamsul sebelum ini mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheng.
Antara pertuduhan termasuk menerima wang tunai RM100,000 di tempat letak kereta YTL Majestic Hotel pada 24 November 2023 serta suapan berbentuk perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 di kediaman Bukit Bandaraya dan Putrajaya.
Beliau juga didakwa menerima RM40,000 pada 29 Januari 2024 di lokasi sama di Bukit Bandaraya.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Akta SPRM 2009 atas kapasiti beliau sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri ketika itu.
Usai sidang media, Shamsul dilihat keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan ditemani keluarga, sahabat handai serta penyokong yang setia menanti pembebasan beliau daripada tahanan reman SPRM.








