Shamsul Iskandar, Albert Tei Direman Enam Hari

PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk permohonan reman berkaitan siasatan dakwaan rasuah berprofil tinggi.

Kedua-duanya tiba sekitar pukul 9 pagi menaiki van SPRM, lengkap berbaju lokap oren dan bergari sebelum diiringi masuk ke bangunan mahkamah untuk prosiding di hadapan Majistret Fatin Muneerah Sofian.

Mahkamah kemudian membenarkan perintah reman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan kesalahan meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau upah.

Siasatan ini dipercayai berkait dengan klip video tular yang memaparkan perbualan antara Tei dan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong, yang turut ditahan SPRM.

Video itu mengaitkan dakwaan bahawa sejumlah wang diberikan bagi tujuan mendapatkan kembali dana yang didakwa diagihkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Anda Mungkin Berminat