Shamsul Iskandar, Albert Tei Tiba Di Mahkamah Sesyen KL Bagi Pendakwaan

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Tumpuan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini terarah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bersama ahli perniagaan Albert Tei, yang hadir untuk menghadapi empat pertuduhan rasuah.

Kedua-dua tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah pada pukul 8.07 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Shamsul Iskandar dilihat mengenakan baju batik manakala Tei berbaju kolar biru muda.

Terdahulu, Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Shamsul Iskandar dan Tei masing-masing akan berdepan empat pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kedua-dua individu tersebut turut akan dihadapkan dengan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat ini.

“Dan begitu juga di Mahkamah Seksyen Shah Alam, dituduh pada hari Jumaat dimana, masing-masing akan menghadapi satu pertuduhan di bawah seksyen yang sama,” katanya.

Dilaporkan, Shamsul Iskandar akan dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan kesalahan menerima rasuah.

Manakala Tei pula bakal dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, iaitu kesalahan memberi atau menawarkan rasuah.

Selain itu, seorang wanita bernama Sofia Rini, yang sebelum ini tular dalam sebuah video perbualan bersama Albert Tei, tidak akan didakwa kerana diklasifikasikan sebagai saksi.

Sebelum ini, media melaporkan Shamsul telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri selepas mendakwa terdapat usaha menggunakan kontroversi untuk menjatuhkan reputasi dirinya serta imej kerajaan.

Anda Mungkin Berminat