Shamsul Iskandar Hormati Keputusan Parti, Sokong Pelantikan Adam Adli Di Melaka

PETALING JAYA: Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyatakan penghormatan penuh terhadap keputusan Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melantik Adam Adli Abd Halim sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, sambil menegaskan komitmennya untuk terus menyumbang kepada pengukuhan parti di peringkat negeri.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Shamsul Iskandar berkata, keputusan tersebut dibuat mengikut Perlembagaan dan tradisi parti serta perlu diterima demi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelancaran gerak kerja PKR di Melaka.

Beliau menegaskan fokus utama parti ketika ini adalah memperkukuh organisasi, menyusun jentera dan memastikan PKR kekal relevan serta dekat dengan rakyat Melaka khususnya menjelang Kongres Parti dan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Melaka yang dijangka berlangsung pada tahun 2026.

Shamsul Iskandar turut menyeru pimpinan dan anggota parti agar kekal bermuafakat, matang dan berdisiplin dalam mendepani cabaran politik semasa termasuk berwaspada terhadap sebarang serangan yang bertujuan menggugat kepimpinan Presiden parti.

Dalam kenyataan sama, beliau menyatakan sokongan penuh kepada Adam Adli dalam menjalankan amanah sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka dan menyuarakan keyakinan bahawa Adam Adli mampu memimpin dengan baik serta memastikan kelangsungan gerak kerja parti di peringkat negeri.

Terdahulu, Biro Politik PKR memaklumkan bahawa Adam Adli Abd Halim dilantik sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka berkuat kuasa 15 Disember 2025.

Adam Adli sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi MPN Melaka dan akan memangku tugas tersebut susulan ketetapan parti.

Menurut kenyataan media rasmi yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, jawatan Shamsul Iskandar sebagai Ketua Cabang Hang Tuah Jaya kekal dan tidak terjejas dengan pelantikan berkenaan.

Anda Mungkin Berminat