Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, tampil menegaskan bahawa beliau akan berjuang habis-habisan untuk membersihkan namanya di mahkamah.
Shamsul, 51, membuat kenyataan itu sejurus selepas membayar ikat jamin sebanyak RM150,000, dengan dua penjamin tempatan yang difahamkan merupakan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau hadir ditemani barisan peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad dan Yusmadi Yusoff, yang berdiri di sisinya ketika beliau memberi kenyataan kepada wartawan.
“InsyaAllah, saya akan buktikan bahawa saya tidak bersalah.
“Saya akan menjunjung prinsip undang-undang dan sejak dari awal lagi, saya telah memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan dijalankan,” katanya dengan nada tegas.
Prosiding pagi tadi menyaksikan Shamsul didakwa atas empat pertuduhan berkait pemberian rasuah berjumlah lebih RM176,000.
Walaupun berdepan tekanan besar, beliau kelihatan tenang dan yakin, malah sempat meluahkan keyakinan bahawa proses perundangan akan membuktikan kebenaran.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk menghormati undang-undang dan menyerahkan segala bukti serta hujah kepada mahkamah.







