PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, pada Rabu membuat laporan polis terhadap individu bernama Albert Tei yang didakwa menimbulkan fitnah melibatkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul berkata laporan itu dibuat di Gum Gum pada pukul 5.05 petang selepas Albert didakwa menuduh kononnya wujud arahan daripada Anwar untuk merakam beberapa ahli politik Sabah.
Menurutnya, tuduhan tersebut merupakan satu fitnah serius dan cubaan jahat yang bertujuan menjejaskan imej Perdana Menteri ketika kempen Pilihan Raya Negeri DUN Sabah sedang berlangsung.
“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk mencemarkan reputasi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik menerusi strategi politik kotor.
Shamsul turut memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan segera dan menyeluruh.
“Saya yakin PDRM akan memulakan siasatan segera dan saya sedia memberi kerjasama kepada mana-mana agensi penguatkuasaan termasuk SPRM,” katanya.








