Sheikh Ma’sarawi Sokong Mushaf Malaysia MADANI Ke Peringkat Antarabangsa

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat mantan Syeikh Umum Maqari’ Mesir, Al-Fadhil Al-Allamah Sheikh Dr Ahmad ‘Isa Ma’sarawi yang kini berada di Malaysia.

Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra dan berfokus kepada usaha memperkukuh kedudukan Mushaf Malaysia MADANI yang baru sahaja diluncurkan pada Isnin.

Menurut Perdana Menteri, perbincangan menyentuh kemajuan projek penerbitan mushaf tersebut serta hasrat Sheikh Ma’sarawi untuk memperkenalkan hasil kerja anak Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Sheikh antara lain menzahirkan hasrat beliau untuk memperkenalkan mushaf hasil kerja anak Malaysia ini ke peringkat antarabangsa,” kata Anwar.

Selain itu, kedua-dua tokoh turut berkongsi keprihatinan mengenai perkembangan dunia Islam khususnya di Asia Barat yang memberi kesan besar kepada banyak pihak.

Anwar berkata, sumbangan dan jasa Sheikh Ma’sarawi dalam bidang qiraati dan semakan mushaf Al-Quran amat dialu-alukan.

“Kerajaan MADANI akan terus mendukung ikhtiar yang dilakukan dalam mengangkat kemuliaan dan mesej Al-Quran,” tambah beliau.

Anda Mungkin Berminat