PETALING JAYA: Kejayaan anak-anak Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha, menjadi sorotan apabila tampil cemerlang dalam Hari Anugerah Sekolah bagi kedua-dua institusi, Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Rendah Agama (SRA).
Menerusi satu hantaran di Facebook, Dr Sheikh Muszaphar berkata, di Sekolah Kebangsaan, Adam dinobatkan sebagai Tokoh Murid serta meraih Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Antarabangsa.
Noah pula menerima pengiktirafan Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan, manakala Tasha turut mengharumkan nama sekolah dengan pencapaian Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Antarabangsa.
Di SRA, Adam sekali lagi menyerlah dengan anugerah Kecemerlangan Akademik dan Terbaik Mata Pelajaran, sementara Noah turut menerima penghargaan atas pencapaian Kecemerlangan Akademik.
Dalam perkongsian beliau, Sheikh Muszaphar meluahkan rasa syukur dan kebanggaan terhadap pencapaian anak-anaknya.
“Alhamdulillah. Syukur sangat. Anak-anak cemerlang. Mereka berusaha keras. Mereka berlatih bersungguh-sungguh. Mereka bermain dengan penuh semangat. ‘Daddy’ pun gembira,” katanya.
Beliau turut menekankan betapa pentingnya sokongan ibu bapa dalam setiap perjalanan anak-anak.
“Saya terlepas menghadiri Hari Anugerah kerana terlibat dengan Sukan SEA di Bangkok.
“Jarang sekali saya tidak hadir. Saya sentiasa berusaha untuk berada di sana. Jika bukan saya, maka Dr Halina (isteri). Salah seorang daripada kami mesti hadir. Apa sahaja caranya. Sama ada dalam latihan mereka, dalam sukan mereka, dalam pertandingan mereka. Ia amat bermakna bagi mereka,” katanya.
Kejayaan itu jelas mencerminkan bukan sahaja usaha gigih anak-anak tetapi juga peranan keluarga dalam membentuk kecemerlangan akademik dan kokurikulum.
“Sekadar berkongsi. Kasih sayang sentiasa. ‘Daddy’ bangga dengan kamu semua,” katanya lagi.








