Oleh: Aliyaa Azmi
KUMPULAN legenda Indonesia, Sheila On 7, bakal mencipta sejarah dengan kemunculan semula di Malaysia dalam festival muzik dua negara, Latihan Pestapora 2025.
Berikutan sambutan luar biasa terhadap pengumuman barisan artis Fasa 1 pada Mei lalu, penganjur telah memindahkan lokasi festival ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Julai.
Meneruskan momentum, penganjur mengumumkan barisan Fasa 2 yang kini menampilkan Sheila On 7, penyanyi puisi indie Nadin Amizah serta bintang muzik elektronik ALVN.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, menganggap kepulangan Sheila On 7 sebagai detik bersejarah bagi peminat di Malaysia.
“Kepulangan mereka ke Malaysia adalah detik bersejarah.
“Dengan Stadium Nasional sebagai lokasi baru, kami bersedia untuk mencipta sejarah baharu dalam festival muzik di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora, Kiki Ucup yang juga pengasas bersama Boss Creator berkata, festival itu bukan sekadar hiburan tetapi usaha memperkukuh hubungan muzik dan komuniti antara dua negara serumpun.
“Pestapora adalah tentang muzik dan komuniti. Membawa semangat ini ke Malaysia sangat bermakna.
“Bersama Sheila On 7, Nadin Amizah dan ALVN, kami harap dapat menyatukan dua negara dalam satu malam penuh jiwa dan kenangan,” katanya.
Festival itu dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator yang merupakan pasukan yang bertanggungjawab di sebalik kejayaan Pestapora di Jakarta dan bakal menampilkan kombinasi artis terbaik dari Indonesia dan Malaysia.
Barisan Fasa 1 telah mengesahkan penyertaan nama-nama besar seperti Feast, Hindia, Pamungkas, Feel Koplo, Bittersweet, Bunkface, DOLLA dan ramai lagi.
Tiket Fasa 2 akan mula dijual pada 9 Jun, pukul 12 tengah hari di www.latihanpestaporamalaysia.com dengan harga bermula RM189 hingga RM399.
Festival Latihan Pestapora dijangka menjadi festival muzik silang budaya terbesar tahun ini yang menyatukan peminat dari kedua-dua negara dalam satu pengalaman luar biasa.








