PETALING JAYA: Sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 dari 24 Mac hingga 7 April lalu, sebanyak 386 tindakan telah diambil terhadap peniaga yang melanggar peraturan.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, kesalahan yang direkodkan termasuk menjual melebihi harga maksimum, tidak menggunakan tanda harga khas merah jambu, dan gagal meletakkan tanda harga.
“Sebanyak 7,258 pemeriksaan telah dilakukan di premis perniagaan seluruh negara, merangkumi 158 pemeriksaan di premis borong dan pengeluar serta 7,097 pemeriksaan di premis runcit.
“Tindakan yang diambil melibatkan sitaan bernilai RM12,813.84 dan kompaun sebanyak RM43,400,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Azman, pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan bersama maklum balas daripada orang ramai, menunjukkan pelaksanaan SHMMP berjalan dengan baik dan lancar.
Malah, katanya, kementerian tidak menerima sebarang aduan sepanjang tempoh skim tersebut.
“Majoriti peniaga yang diperiksa menunjukkan komitmen tinggi dan mematuhi perundangan harga maksimum yang ditetapkan,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi-agensi berkaitan, pihak industri serta para peniaga atas kerjasama dalam menjayakan skim itu.
Pelaksanaan SHMMP bertujuan untuk menstabilkan harga barangan semasa musim perayaan akibat permintaan yang tinggi.
SHMMP Hari Raya Puasa 2025 dilaksanakan selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
Sebanyak 26 jenis barangan telah dikawal di bawah skim ini untuk memastikan harga yang berpatutan bagi pengguna.