SHMMP, Jualan Rahmah Sempena Tahun Baharu Cina 2026

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina 2026, bermula 13 hingga 21 Februari.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan berkata, skim itu berlangsung selama sembilan hari, meliputi empat hari sebelum, sehari semasa dan empat hari selepas perayaan.

Menurutnya, sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan di bawah kawalan harga dengan variasi mengikut wilayah iaitu 16 item di Sarawak, 15 di Semenanjung dan Sabah serta 14 di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Antara barangan yang dikawal termasuk ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, cili merah, kobis bulat import, ubi kentang, halia tua, kepak ayam serta daging babi.

“Empat barangan baharu turut ditambah bagi Sabah, Labuan dan Sarawak iaitu sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar dan bawang merah besar.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.

Armizan berkata, penguatkuasaan skim itu dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan pegawai KPDN ditempatkan di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah.

Beliau berkata, peniaga diwajibkan meletakkan label merah jambu pada barangan harga terkawal.

Tambahnya, kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara bagi individu serta denda sehingga RM500,000 bagi syarikat.

Selain SHMMP, beliau berkata, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena Tahun Baharu Cina yang berlangsung dari 3 hingga 17 Februari 2026 dengan 920 program di seluruh negara.

“Orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Tahun Baharu Cina 2026 di laman web KPDN melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah,” katanya. (kpdn.gov.my in Bing)

Anda Mungkin Berminat