Siasat Minit JAC Bocor Secara Telus, Elak Cemar Integriti Kehakiman – Ramkarpal

PETALING JAYA: Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, menggesa agar siasatan menyeluruh dilakukan berhubung kebocoran minit mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC).

Katanya, fokus bukan sahaja terhadap mekanisme kebocoran tetapi juga terhadap kesahihan dan kandungan dakwaan yang termuat dalam dokumen tersebut.

“Kebocoran minit mesyuarat JAC yang didakwa berlaku mesti disiasat secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut bagaimana ia boleh dibocorkan tetapi yang lebih penting ialah dari segi kesahihan (authenticity) dan kandungan minit tersebut,” katanya.

Beliau menyuarakan kekesalan terhadap ketiadaan kenyataan rasmi berhubung kemungkinan wujud campur tangan kehakiman seperti yang didakwa dalam minit bocor, walaupun Ketua Polis Negara Khalid Ismail telah memaklumkan siasatan sedang berjalan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Namun saya kesal kerana tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung isu utama iaitu sama ada dakwaan campur tangan kehakiman dalam minit bocor tersebut akan turut disiasat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau mempersoalkan sama ada kenyataan Khalid secara tidak langsung mengesahkan kesahihan dokumen tersebut dan menyeru agar siasatan terhadap salah laku dalam kandungan minit turut dijalankan secara telus.

“Kenyataan Khalid seolah-olah mengesahkan bahawa minit yang bocor itu adalah sahih yang menjadikan keperluan untuk menyiasat di bawah OSA wajar, sekali gus menambah kepentingan untuk menyiasat dakwaan salah laku yang terkandung dalam minit berkenaan,” katanya.

Ramkarpal berkata, dakwaan itu menyentuh asas integriti badan kehakiman dalam sistem demokrasi dan rakyat berhak mengetahui kebenaran perkara tersebut.

Mengulas pelantikan baharu bagi jawatan tertinggi badan kehakiman negara, beliau berkata, nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong mestilah dibuat dengan cermat, memandangkan dakwaan serius yang membabitkan seorang hakim yang disebut dalam minit berkenaan.

“Dengan segala hormat, hakim tersebut tidak sepatutnya dipertimbangkan oleh Perdana Menteri dalam nasihat beliau bagi mana-mana daripada empat jawatan berkenaan, selagi dan sehingga dakwaan yang mengaitkan beliau dalam minit bocor tersebut disiasat dan diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang kelalaian dalam menyiasat isu tersebut akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Madani.

“Situasi ini menuntut siasatan yang menyeluruh dan telus, dan sebarang tindakan yang kurang daripada itu boleh menyebabkan kehilangan keyakinan yang serius terhadap Kerajaan Madani dan sesuatu yang harus dielakkan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat