Siasatan Berjalan, Semua Diminta Tidak Buat Spekulasi – Fadhlina

PETALING JAYA: Kerajaan memandang serius insiden kemalangan melibatkan seorang murid, Zara Qairina, yang berlaku di sebuah sekolah di Sabah baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata beliau mengikuti rapat perkembangan kes tersebut yang kini dalam siasatan pihak polis.

“Beri ruang kepada pihak polis untuk menjalankan tugas secara profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sedang memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berlangsung.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan tiada individu akan dilindungi daripada tindakan undang-undang.

“Tiada siapa yang akan dilindungi dan terlepas dari tindakan undang-undang,” tegasnya.

JPN Sabah juga komited untuk memastikan kesejahteraan keluarga mangsa, murid, guru serta warga sekolah terbabit terjaga menerusi penyediaan bantuan segera termasuk sokongan psikososial dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Fadhlina turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan ini.

Baru-baru ini tular insiden melibatkan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang didakwa menjadi mangsa buli dan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat