Siasatan GISBH: PDRM teliti amalan Aurad Muhammadiyah, tindakan mungkin guna SOSMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat meneruskan siasatan terhadap Global Ikhwan and Services Berhad Holdings (GISBH), yang dipercayai masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah, sebuah tarekat yang diharamkan pada 1994.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan hasil serbuan di premis GISBH pada 20 September lalu telah menemui pelbagai buku dan risalah berkaitan ajaran tersebut, mengukuhkan lagi tanggapan bahawa kumpulan tersebut masih mengamalkan ajaran tersebut.

“Kami percaya berdasarkan risikan dan keterangan yang diperoleh, GISBH masih mengamalkan tarekat Aurad Muhammadiyah kerana ada buku Abuya dan zikir ditemui.

“Ajaran ini dimulakan oleh Al-Arqam yang telah difatwakan sesat pada 1994,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Isnin.

Beliau juga menekankan bahawa hal berkaitan akidah dan ajaran sesat itu terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Siasatan terhadap GISBH akan dijalankan secara berfasa, dengan kemungkinan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, atau lebih dikenali sebagai SOSMA, sekiranya perlu.

“Siasatan dijalankan secara telus, kami akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk memastikan tindakan yang diambil adalah sah dan menyeluruh,” tambahnya.

Selain itu, PDRM juga akan meneliti pelanggaran undang-undang lain yang mungkin berlaku, termasuk Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, serta Akta Antipemerdagangan Orang.

Mengenai kemungkinan penggunaan SOSMA, Razarudin menegaskan bahawa siasatan ke arah itu sedang dipertimbangkan berdasarkan tahap keseriusan kes tersebut.

Walaupun isu berkaitan akidah diserahkan kepada JAKIM dan MKI, pihak polis tetap komited memastikan tindakan terhadap GISBH dijalankan dengan adil dan mengikut peruntukan undang-undang negara.

Pihak berkuasa kini sedang berusaha memastikan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang dan bertentangan dengan ajaran Islam diambil tindakan sewajarnya, sambil terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama bagi mengekang ajaran sesat di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat