SIC Utama MotoGP, Formula 1 Tidak Akan Kembali Buat Masa Ini

PETALING JAYA: Impian peminat sukan permotoran untuk melihat Formula 1 kembali ke Litar Sepang mungkin terpaksa ditangguhkan buat masa yang lama.

Litar Sepang Antarabangsa (SIC) tampil menjelaskan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutifnya baru-baru ini yang mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat.

Menurut kenyataan rasmi SIC, fokus utama mereka kini adalah kepada pembaharuan kontrak MotoGP Malaysia selepas tahun 2026 dan bukan kepada kemungkinan kembalinya F1 ke negara ini.

“Walaupun Formula 1 kekal sebagai sebahagian penting dalam sejarah kami, usaha mendapatkan semula hak penganjuran terbukti rumit dan mahal.

“Keutamaan utama adalah memastikan MotoGP terus kekal kerana ia masih mendapat sambutan hangat daripada peminat Malaysia dan lebih mudah diakses sama ada dari sudut penonton mahupun penganjuran,” jelas SIC.

Kontrak Malaysia sebagai tuan rumah MotoGP akan berlangsung sehingga tahun 2026 dan SIC kini memberi tumpuan penuh kepada usaha memastikan kesinambungan acara tersebut.

SIC menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dorna Sports S.L serta pelbagai pihak berkepentingan lain bagi menjamin kelangsungan MotoGP di Malaysia.

Bagi menyokong proses membuat keputusan yang berinformasi, SIC turut berjanji untuk menyediakan data dan analisis menyeluruh mengenai impak ekonomi, pelancongan dan pembangunan yang berkaitan dengan penganjuran MotoGP.

“Kami menghargai semangat yang ditunjukkan oleh orang awam dan pihak berkepentingan dalam perkara ini dan sekali lagi menegaskan komitmen kami untuk memastikan masa depan MotoGP di Malaysia demi manfaat para peminat, rakan kerjasama dan negara,” tambah SIC.

Walaupun F1 pernah menjadi lambang kebanggaan negara dalam arena permotoran antarabangsa, MotoGP kini menjadi pilihan utama bukan sahaja kerana popularitinya tetapi juga kerana ia lebih mampan dari segi kos dan logistik.

Anda Mungkin Berminat