Sidang Dewan Rakyat Tangguh 5 minit Angkara Hamzah

PARLIMEN | Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi pada Selasa terpaksa direhatkan selama lima minit susulan ketegangan antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Speaker, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.

Insiden berlaku ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri apabila Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut bangkit memohon agar blok pembangkang diberi ruang mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Ramli memaklumkan tempoh masa bagi sesi berkenaan telah tamat dan tidak membenarkan sebarang soalan tambahan diajukan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Hamzah tetap memohon pertimbangan supaya pembangkang diberikan sedikit ruang bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.

“Sebagai Ketua Pembangkang, saya ingin mendapatkan sedikit penjelasan… kami mohon sebab Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kata boleh beri kerjasama,” katanya.

Namun, Ramli bertegas dengan keputusannya dan mengarahkan sesi diteruskan dengan Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

“Yang berhormat, saya sudah putuskan. Saya ambil keputusan tidak benarkan. Jadi, sila duduk,” tegas beliau.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang kemudian turut bangkit mempersoalkan tindakan Timbalan Speaker yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands itu, sekali gus mencetuskan suasana tegang dalam Dewan.

Bagi meredakan keadaan, Ramli memutuskan persidangan direhatkan selama lima minit sebelum ia disambung semula seperti biasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat