Sidang Kemuncak ASEAN 2025: Malaysia Tampil Sebagai Pemimpin Rantau Berprinsip, Berwibawa

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Kuala Lumpur bukan sekadar pertemuan diplomatik tetapi cerminan kepimpinan Malaysia yang berani, berprinsip dan berpandangan jauh di pentas antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia memimpin dengan prinsip, hikmah dan keberanian demi memperkukuh perpaduan serta suara rantau di peringkat global.

“Sidang ini mencatat sejarah dengan kehadiran pimpinan dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil dan Presiden Afrika Selatan sekali gus menandakan kebangkitan semula semangat ASEAN berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Menurut beliau, sidang kali ini membawa makna besar bukan sahaja kepada Malaysia sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN tetapi juga kepada seluruh rantau dalam menghadapi cabaran ekonomi, politik dan kemanusiaan yang semakin kompleks.

Katanya, Malaysia bertekad mempertahankan kepusatan ASEAN, memperkukuh perdagangan bebas, memperjuangkan keamanan serantau dan membawa suara Negara-Negara Selatan ke pentas antarabangsa termasuk dalam isu Gaza yang menuntut keadilan dan keamanan berkekalan.

Tambah Anwar, penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 turut menjadikan sidang ini bersejarah, mencerminkan semangat keterangkuman dan kekeluargaan serantau yang semakin utuh.

Malaysia turut menegaskan kepentingan memperkukuh dialog antara Thailand dan Kemboja bagi menangani isu berbangkit secara damai selaras dengan semangat perpaduan ASEAN.

Dalam masa sama beliau berkata, usaha damai di Myanmar melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara terus menjadi keutamaan.

“Malaysia juga kekal komited terhadap usaha damai di Myanmar melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi kesejahteraan rakyatnya,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini merupakan kali ketiga Malaysia mempengerusikan sidang berprestij tersebut selepas tahun 2005 dan 2015.

Fokus utama sidang kali ini termasuk pengukuhan ekonomi digital, diplomasi keamanan serta solidariti ASEAN dalam menangani isu global seperti konflik Gaza dan perubahan iklim.

Dengan kehadiran pemimpin dunia dan penyertaan aktif negara-negara anggota, sidang ini dijangka menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula ASEAN sebagai blok serantau yang bersatu, berdaya tahan dan berpengaruh di peringkat global.

Anda Mungkin Berminat