Sidang Kemuncak ASEAN: Bukti Kecekapan Malaysia, Delegasi Kagum Dengan Layanan – PM

PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) telah melabuhkan tirainya dengan kejayaan besar termasuk memperkukuh hubungan serantau serta menampilkan Malaysia sebagai tuan rumah yang cemerlang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan acara bersejarah itu.

“Alhamdulillah, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 berjaya dilangsungkan dengan penuh tertib dan bermakna hasil komitmen luar biasa dan semangat berpasukan ribuan penjawat awam, pasukan keselamatan, sukarelawan, petugas hotel, peniaga, petugas pembersihan, media dan sektor swasta,” katanya dalam satu hantaran beserta video di Facebook.

Sidang kemuncak ini bukan sahaja menjadi medan perbincangan strategik antara pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China tetapi juga memperlihatkan kecekapan Malaysia dalam menguruskan acara bertaraf antarabangsa.

Perdana Menteri turut menyaksikan sendiri kesungguhan kementerian dan agensi dalam memastikan kelancaran sidang.

“Saya melihat sendiri kesungguhan semua kementerian dan agensi yang berganding bahu menyambut pimpinan luar, mengurus protokol, logistik, keselamatan serta merancang persembahan budaya bertaraf antarabangsa yang memukau tetamu,” katanya.

Tambah Anwar, delegasi dari ASEAN, GCC dan China menyatakan rasa kagum terhadap layanan, kebersihan, kecekapan dan disiplin sepanjang sidang berlangsung, membuktikan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah yang berwibawa.

“Delegasi ASEAN, GCC dan China menyatakan rasa kagum terhadap layanan, kebersihan, kecekapan dan disiplin sepanjang sidang berlangsung.

“Ini bukti nyata kekuatan pasukan Malaysia yang bekerja secara kolektif dan ikhlas demi mengharumkan nama negara,” ujarnya.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 turut menyaksikan pelancaran Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 yang menetapkan hala tuju serantau dalam aspek ekonomi, keselamatan dan pembangunan mampan.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, memainkan peranan penting dalam merangka strategi jangka panjang bagi memperkukuh integrasi serantau.

Mengakhiri kenyataannya, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sidang kemuncak ini.

“Salut saya kepada semua yang terlibat. Kalian adalah wira di sebalik kejayaan bersejarah dan bermakna ini. Terima kasih,” katanya.

Anda Mungkin Berminat