Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China: Corak Masa Depan Kerjasama Serantau

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menjadi saksi kepada satu detik bersejarah apabila Forum Ekonomi Fortune ASEAN-GCC-China berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak pertama ASEAN-GCC-China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan usaha gigih ASEAN dalam menangani isu-isu kompleks dengan semangat muafakat.

“Kita bersetuju bahawa ASEAN harus kekal sebagai blok yang kukuh dan bebas yang bersatu dalam melindungi kepentingan serantau dan menjayakan agenda pembangunan bersama GCC dan China,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Dengan GCC muncul sebagai kuasa ekonomi utama di Asia Barat, Anwar berkata, ia didorong oleh kekuatan dalam sektor tenaga, pelaburan teknologi baharu, digitalisasi dan kecerdasan buatan.

“Kerjasama rapat dengan GCC membuka ruang bagi pembentukan pasukan serantau yang benar-benar berwibawa dan berdaya saing,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, hubungan yang semakin kukuh dengan China turut diperkukuh dengan mengambil kira kedudukannya sebagai jiran serantau yang komited terhadap keamanan dan pembangunan.

“China membuktikan kemampuannya dalam mengangkat ekonomi, teknologi serta prinsip keadilan sejagat,” tambah Anwar.

Katanya lagi, sidang kemuncak ini membuktikan bahawa melalui dialog terbuka dan semangat kolektif, perbezaan dapat diketepikan demi kepentingan bersama.

Perdana Menteri berkata, kesepakatan ASEAN, GCC dan China dalam aspek tatakelola, dasar ekonomi yang jelas serta pembelaan terhadap hak dan kebajikan rakyat menjadi bukti bahawa diplomasi yang bijaksana mampu membawa kepada kejayaan bersama.

Dengan kepimpinan politik menyediakan dasar yang stabil dan jelas, Anwar menyeru agar komuniti perniagaan dan pemain industri bertindak mengambil peluang yang telah dirangka.

“Tiba masanya untuk sektor swasta mengambil langkah berani, memanfaatkan peluang dan merealisasikan aspirasi ini secara bersama,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat