KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman selepas majlis pembukaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad, yang turut menyaksikan Timor-Leste disahkan sebagai anggota ASEAN ke-11.
Menurut Kementerian Luar, sesi pleno akan dihadiri oleh tetamu Pengerusi ASEAN termasuk Perdana Menteri Kanada, Presiden Majlis Eropah dan Pengarah Urusan IMF, dengan perbincangan tertumpu kepada pembangunan Komuniti ASEAN, integrasi serantau, pertumbuhan ekonomi dan ketersambungan.
Pemimpin juga akan membincangkan isu perpaduan dan kepusatan ASEAN, memperkukuh hubungan dengan rakan dialog seperti Kanada dan Kesatuan Eropah, serta mendengar pembentangan IMF mengenai penilaian ekonomi global dan kerjasama serantau.
Dalam sesi pemukiman, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) berhubung Myanmar serta isu serantau dan antarabangsa lain.
Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu, ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 turut akan berlangsung sehingga Selasa, membincangkan pelbagai topik termasuk perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, pertumbuhan hijau dan keselamatan serantau.
Malaysia juga akan menganjurkan Sidang Kemuncak RCEP kelima dan Mesyuarat Menteri AZEC ketiga. Sidang ini menjadi kemuncak kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025, sebelum diserahkan secara rasmi kepada Filipina pada 1 Januari 2026.
Baca juga:








