KUALA LUMPUR: Sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Selasa menandakan berakhirnya perhimpunan terbesar pemimpin serantau dan rakan dialog yang berlangsung selama tiga hari di ibu negara dengan pelbagai pencapaian bersejarah yang dijangka membentuk masa depan rantau ini.
Antara detik paling bersejarah ialah kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11 yang merupakan satu langkah yang disambut hangat sebagai simbol keterangkuman dan perpaduan serantau.
Para pemimpin turut mencapai pelbagai hasil konkrit dalam memperkukuh integrasi ekonomi, memperluas kerjasama strategik serta mempertingkat daya tahan ASEAN terhadap cabaran global seperti perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi.
Malaysia, selaku tuan rumah, memainkan peranan penting dalam memacu perbincangan ke arah penyelesaian damai dan pembangunan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara akan terus menjadi suara yang menyeru kepada persefahaman dan dialog terbuka.
“Malaysia turut memainkan peranan utama dalam memupuk semangat keterangkuman, kemampanan dan keamanan serantau serta terus menggalas tanggungjawab sebagai suara yang menyeru ke arah dialog, persefahaman dan penyelesaian aman terhadap sebarang pertikaian,” katanya dalam sidang media penutup.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas media yang telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada para petugas media tempatan dan antarabangsa yang telah memberikan liputan menyeluruh serta berkualiti tinggi, kalian menjadi jambatan penting antara dasar dan rakyat, antara semangat ASEAN dan dunia luar,” ujar beliau.
Sidang Kemuncak kali ini turut menyaksikan penekanan terhadap isu-isu seperti transformasi digital, keselamatan makanan, dan pembangunan inklusif yang mencerminkan tekad ASEAN untuk kekal relevan dan responsif dalam dunia yang semakin mencabar.
Dengan berakhirnya sidang ini, ASEAN melangkah ke hadapan dengan semangat baharu, membawa bersama harapan lebih satu bilion rakyat rantau ini untuk masa depan yang lebih aman, makmur dan bersatu.








