Sidang Kemuncak Asia Timur: Malaysia Teguh Pejuang Keamanan Serantau, Global – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan kerjasama serantau ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 di Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Anwar mengimbau penubuhan EAS dua dekad lalu sebagai titik tolak penting dalam membina norma sejagat dan memperkukuh nilai kemanusiaan dengan ASEAN sebagai teras utama.

“Semasa mempengerusikan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), saya tegaskan bahawa, 20 tahun lalu, pimpinan terdahulu menggerak serta menubuhkan Sidang Kemuncak ini sebagai wahana untuk memperkukuh norma sejagat, mengangkat nilai kemanusiaan dan menegakkan keamanan serantau dengan ASEAN sebagai terasnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, dunia hari ini memerlukan pendekatan yang lebih berani dan berprinsip dengan memilih dialog mengatasi paksaan, keseimbangan mengatasi pertembungan dan kerjasama mengatasi konfrontasi.

Dalam isu Gaza, Anwar menyambut baik pelan komprehensif yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, sebagai langkah awal ke arah penyelesaian politik yang adil dan berkekalan.

“Malaysia menyambut baik pelan komprehensif Presiden Trump bagi menamatkan konflik Gaza, yakni satu permulaan penting ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.

“Kita akan terus memantau pelaksanaannya agar ia menjelmakan penyelesaian politik yang menyeluruh dan saksama bagi rakyat Palestin,” katanya.

Menyentuh situasi di Myanmar, Anwar menegaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip Konsensus Lima Perkara ASEAN dengan pendekatan kemanusiaan dan keterlibatan inklusif sebagai landasan utama.

“Gencatan senjata mesti dihormati, bantuan mesti disalurkan tanpa halangan dan dialog inklusif perlu diteruskan menuju pemulihan demokrasi,” katanya.

Dalam isu Laut China Selatan, beliau berkata, penyelesaian mesti dipacu oleh ASEAN dan berlandaskan undang-undang antarabangsa khususnya Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.

Anwar turut menekankan bahawa penglibatan bukan pengasingan adalah kunci kepada penyelesaian krisis global termasuk di Gaza, Myanmar, Ukraine dan Korea Utara.

“Melalui Deklarasi Kuala Lumpur sempena 20 Tahun Sidang Kemuncak Asia Timur, Malaysia memperteguh keyakinan bahawa kepelbagaian bukan penghalang tetapi kekuatan yang menyatukan kita,” ujarnya.

Sidang kemuncak turut menyaksikan kehadiran pemimpin dari Brazil dan Afrika Selatan, yang disambut sebagai suara Negara-Negara Selatan yang berkongsi aspirasi untuk memperjuangkan demokrasi, solidariti dan kerjasama pelbagai hala.

“EAS turut mengalu-alukan kehadiran sahabat dari Brazil dan Afrika Selatan, suara Negara-Negara Selatan yang berkongsi aspirasi dan tekad untuk memperjuangkan demokrasi, solidariti dan kerjasama pelbagai hala.

“Malaysia akan terus memimpin dengan prinsip, berpaksikan nilai kemanusiaan dan keadilan, demi membina rantau yang aman, adil dan makmur,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat