Sidang Khas 5 Mei Depan Bincang Tarif AS – PM

PUTRAJAYA: Satu sidang khas akan diadakan di Dewan Rakyat pada 5 Mei depan bagi membincangkan isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) kepada rakan dagang antarabangsa termasuk Malaysia.

Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ya ada (sidang khas Dewan Rakyat pada 5 Mei ini),” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri MADANI Jabatan Perdana Menteri pada Selasa, memetik laporan media tempatan.

Media sebelum ini melaporkan satu notis sudah dikeluarkan untuk mengadakan sidang khas berkenaan.

Difahamkan, sidang khas itu bertujuan memberi ruang kepada Ahli Kongres dari kedua-dua pihak membahaskan isu tarif berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan Ahli Parlimen masih belum menerima notis terbabit bagi menghadiri sidang berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual mengadakan lawatan kerja ke Washington, pada 24 April ini bagi membincangkan isu tarif berkenaan.

Dalam lawatan tersebut, beliau dijangka bertemu dengan Wakil Perdagangan AS (USTR), Katherine Tai dan beberapa pegawai kerajaan lain bagi membincangkan isu tarif balas yang dicadangkan AS terhadap Malaysia.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 3 April lepas mengumumkan negaranya akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

Anda Mungkin Berminat