KUANTAN: Kejohanan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 yang berlangsung di Kuantan malam tadi dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus mengangkat silat sebagai wahana pensejarahan yang menghidupkan kembali ruh kepahlawanan bangsa.
Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan bahawa silat bukan sekadar seni mempertahankan diri tetapi lambang jati diri bangsa yang membentuk disiplin, keberanian, pertanggungjawaban dan sikap hormat.
“Silat tidak diangkat semata sebagai seni mempertahankan diri tetapi merupakan lambang jati diri yang membentuk disiplin, keberanian, pertanggungjawaban dan sikap hormat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dalam kerangka MADANI, ciri pendekar yang diharapkan adalah generasi yang bukan sahaja tangkas di gelanggang tetapi teguh akhlaknya, jelas pendiriannya dalam menolak kezaliman dan kecurangan serta berupaya menyemarakkan nilai dalam kehidupan.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa dengan usaha berterusan para pesilat dan guru, warisan silat akan terus subur dan berkembang hebat.
“Daripada gelanggang inilah akan lahir generasi muda yang berjiwa kental, cintakan agama, bangsa dan negara serta generasi yang menyemarak legasi perjuangan, memperkukuh perpaduan dan mengangkat martabat tanah air ke tingkat yang lebih tinggi,” katanya.
Kejohanan itu bukan sahaja memperlihatkan semangat anak-anak muda dalam memartabatkan seni silat sebagai warisan leluhur tetapi juga meneguhkan perpaduan dan jati diri bangsa.








