PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyambut baik langkah kerajaan mengecualikan pelaksanaan sistem e-invois bagi peniaga kecil dengan pendapatan tahunan di bawah RM500,000.
Menurut beliau, sejak tahun lalu, golongan peniaga kecil telah menyuarakan kebimbangan berhubung cabaran kos tambahan serta literasi digital yang rendah dalam melaksanakan sistem ini.
“Pelaksanaan e-invois bertujuan meningkatkan hasil cukai dan membanteras pengelakan cukai, supaya kerajaan dapat melabur lebih banyak dalam perkhidmatan awam seperti kesihatan dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sim berkata, keputusan pengecualian sementara itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Pengecualian sementara untuk peniaga kecil berpendapatan bawah RM500,000 menunjukkan komitmen kerajaan yang prihatin dan mendengar kebajikan rakyat,” ujarnya.
Sebagai wakil rakyat, Sim berkata, beliau bersama rakan-rakan Ahli Parlimen telah beberapa kali membangkitkan isu ini kepada pegawai kanan kerajaan dan Menteri Kewangan.
“Pada 21 Mei lalu, semasa prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersama pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Kewangan, pihak berkuasa menegaskan pelaksanaan e-invois akan diteruskan bagi membanteras ketirisan cukai,” jelasnya.
Bagaimanapun, dalam perbincangan menerusi platform Friends of MOF pada 29 Mei, cadangan menangguhkan pelaksanaan bagi golongan berpendapatan rendah mendapat maklum balas positif daripada Menteri Kewangan II.