Simbah asid pemilik spa, wanita direman lima hari

KOTA BHARU: Seorang wanita berusia 38 tahun direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes simbah asid sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada pemilik spa di Beris Kubur Besar, Bachok, pada 17 Mei lalu.

Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga Isnin depan terhadap wanita yang merupakan pekerja kilang getah itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi.

Penahanan itu bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret Bachok pada pukul 9.20 pagi dengan menaiki kereta polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam kenyataan media hari ini berkata, suspek ditangkap dalam satu operasi bersepadu di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai, pada pukul 4.00 petang semalam.

Beliau berkata, operasi itu disertai Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok.

Menurutnya, suspek bekerja di sebuah kilang getah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan Perodua Myvi, telefon bimbit dan alat kawalan kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat