Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian negara.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Aro Dagang berkata, perpaduan dan keharmonian adalah aset terpenting negara yang dibarisi masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas insiden di mana KK Mart cawangan Universiti Malaya, Kuala Lumpur disimbah cat merah akibat penemuan produk makanan dengan status halal yang meragukan.
Aaron menyeru semua pihak agar tidak membuat tindakan provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Ketika ini, isu penjualan produk sandwich ham dan keju di KK Mart berada dalam siasatan pihak berkuasa (Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Penguatkuasa KPDN),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Aaron menekankan perlunya setiap pihak memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat, selari dengan prinsip Rukun Negara serta integrasi nasional.
“Prinsip ini selari dengan nilai-nilai murni ang terkandung dalam Rukun Negara serta prinsip integrasi nasional iaitu ‘Faham, Hormat dan Terima’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan dan memperluas perkhidmatan Mediator Komuniti serta penggunaan sistem e-Sepakat bagi membolehkan orang ramai membuat laporan berkaitan isu perpaduan.