KUALA LUMPUR: Sinar Harian memulakan siasatan dalaman berhubung penyiaran infografik yang mengaitkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dengan parti politik.
Ia merupakan satu kesilapan yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pembaca baru-baru ini.
Dalam kenyataan media hari ini, Sinar Harian memaklumkan bahawa semakan awal mendapati kesilapan tersebut berpunca daripada penggunaan semula templat reka bentuk lama oleh seorang kakitangan Unit Media Sosial.
Di mana, templat itu sebelum ini digunakan dalam poster melibatkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Sebagai langkah bertanggungjawab, Sinar Harian telah membuat laporan polis bagi memaklumkan insiden berkenaan dan memberi ruang kepada siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
“Sinar Harian juga sedang menyiasat sama ada wujud unsur sabotaj dalam kes ini,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, katanya, kakitangan terbabit serta penyelia yang meluluskan infografik berkenaan telah digantung tugas buat sementara waktu sementara siasatan dalaman dijalankan.
Sinar Harian turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh kawalan kualiti dan prosedur editorial bagi memastikan ketepatan serta kredibiliti maklumat yang disampaikan kepada masyarakat terus terpelihara.