PETALING JAYA: Satu sindiket pemalsuan cap keselamatan imigresen yang dipercayai aktif sejak dua tahun lalu akhirnya tumpas dalam serbuan khas Ops Serkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sekali gus menamatkan kegiatan licik yang mengeksploitasi warga asing dengan dokumen palsu.
Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 10 November lalu itu berjaya menahan dua lelaki warga tempatan yang menaiki bas dari Terminal Larkin, Johor Bahru menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
“Kedua-dua suspek dikesan di sekitar TBS sebelum ditahan di sebuah rumah di Seri Kembangan yang disyaki menjadi lokasi persembunyian ahli sindiket lain,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, serbuan awal pagi ke atas premis tersebut membawa kepada penemuan lapan pasport milik warganegara Vietnam serta dua cap keselamatan palsu yang dipercayai digunakan untuk mengesahkan dokumen perjalanan warga asing.
“Siasatan awal mendapati sindiket menyasarkan warga Vietnam, Indonesia dan Thailand yang mahu memanjangkan tempoh tinggal di Malaysia.
“Mangsa dikatakan membayar antara RM2,500 hingga RM3,000 bagi setiap dokumen tanpa menyedari bahawa ia adalah palsu,” katanya.
Dalam operasi itu, beliau berkata, tujuh individu berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan terdiri daripada empat warga tempatan (tiga lelaki dan seorang wanita) serta tiga wanita warga Vietnam.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Zakaria berkata, JIM tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan dan akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan.
“JIM akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras pemalsuan dokumen serta mengekang aktiviti melindungi warga asing tanpa dokumen sah, sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk menegakkan undang-undang dan menjaga keselamatan negara,” katanya.
Untuk info, Ops Serkap merupakan sebahagian daripada siri tindakan berterusan JIM di seluruh negara bagi memastikan integriti sistem imigresen kekal terpelihara dan imej negara tidak tercemar akibat penyalahgunaan dokumen perjalanan.








