Sindiket ‘cuci duit’ buka syarikat tetapi tiada aktiviti perniagaan

Bukit Aman mengenal pasti banyak sindiket jenayah ‘mencuci’ wang haram menggunakan sistem ‘layering’ atau lapisan transaksi dengan mendaftar syarikat mengikut prosedur ditetapkan, namun tidak memiliki sebarang urusan aktiviti perniagaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mendedahkan, sindiket biasanya menubuhkan syarikat yang kononnya menjalankan perniagaan sah, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Tiada perniagaan, tapi aliran wang aktif keluar masuk. Sindiket biasanya menubuhkan syarikat untuk menjalankan perniagaan yang sah, tetapi syarikat itu sekadar untuk mengaburi mata pihak tertentu termasuk penguatkuasa undang-undang.

“Syarikat itu tak ubah seperti ‘muka’ kepada aktiviti pengubahan wang hasil aktiviti haram. Selain derma kepada badan amal dan penyaluran wang menggunakan proksi, banyak sindiket ubah wang haram secara ‘layering’, iaitu menubuhkan dan mendaftarkan satu syarikat yang sah.

“Syarikat itu sebenarnya untuk ‘cairkan’ wang, biasanya menjalankan perniagaan meragukan. Apabila disemak pihak berkuasa, kita lihat transaksi kewangan begitu banyak, wang keluar masuk tak henti, tapi perniagaan tak serancak aliran wang itu,” katanya.

Sebelum ini, memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan derma kepada badan amal, sembunyi kekayaan atas nama proksi serta pembiayaan politik, dikenal pasti antara modus operandi jenayah pengubahan wang haram yang semakin aktif di negara ini.

Katanya, modus operandi jenayah itu semakin hebat selari perkembangan semasa dunia dengan dalang juga beroperasi secara sindiket dan menjana keuntungan hasil pengubahan wang haram melalui syarikat berdaftar atas nama proksi untuk menyembunyikan kekayaan.

Susulan itu, aktivis memerangi rasuah dan pakar undang-undang menggesa kerajaan segera melaksanakan beberapa pembaharuan, khususnya mempercepatkan penggubalan akta dana politik dan pengisytiharan harta bagi menangani jenayah pengubahan wang haram di Malaysia.

Jenayah semakin serius

Syor lain, perkukuh Seksyen 36 Akta SPRM 2009 berkaitan keperluan pegawai awam beri penjelasan kepada SPRM bagaimana memiliki harta hingga mampu hidup di luar kemampuan kewangan, selain diwujudkan pemantauan dan kawalan ke atas urus niaga mata wang kripto.

Semua langkah itu dilihat boleh menangani jenayah pengubahan wang haram yang dikesan semakin serius di negara ini, malah dikhuatiri turut melibatkan ‘orang dalam’, termasuk kemungkinan sesetengah individu dalam agensi penguatkuasaan.

Mengulas lanjut, Ramli memberi contoh, banyak syarikat dibina hasil deposit wang oleh orang ramai, tetapi akhirnya entiti itu terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

“Malangnya ramai mangsa yang kehilangan wang tidak membuat laporan dan tidak membuat tuntutan kerugian. Orang ramai perlu sedar risiko setiap pelaburan, sekiranya untung diperoleh itu ‘too good to be true’, maka ia perlu dielakkan dengan segera.

“Polis akan berusaha melakukan pembanterasan, namun pencegahan paling utama adalah diri sendiri. Ketahui pelaburan apa yang mahu dibuat dan syarikat apa wang pelaburan kita dilaburkan.

“Pelaburan dan syarikat mestilah mendapat kelulusan agensi bertauliah kerajaan seperti Bank Negara (BNM) dan Kementerian Kewangan, barulah deposit dilakukan. Jika setakat ‘syarikat ABC’ yang mahu memberi pulangan banyak, sudah tentu ia mencurigakan,” katanya.

Katanya, orang ramai juga perlu mempunyai sikap curiga sebagai langkah untuk mengelak membuat pelaburan meragukan atau meminimumkan kerugian jika sudah membuat pelaburan.

“Perlu ada satu mekanisme untuk menyemak syarikat yang menawarkan pelaburan sedemikian. Adakah ia mempunyai kelulusan BNM atau sijil tertentu bagi penubuhan syarikat,” katanya.

Mengenai strategi PDRM dalam usaha membanteras jenayah pengubahan wang haram, Ramli menjelaskan, pihaknya mempunyai kaedah siasatan, termasuk aspek forensik kewangan untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan.

Beliau juga memberi amaran, PDRM akan mengambil tindakan tegas jika mengesan pegawai dan anggotanya bersekongkol dengan sindiket pengubahan wang haram, begitu juga terhadap individu, syarikat atau gabungan semua itu.

“Tidak ada ada kategori pelaku jenayah pengubahan wang haram ini. Apabila dikesan, siasatan akan dibuat,” tegasnya.- BH

Anda Mungkin Berminat