MELAKA: Satu sindiket panggilan penipuan pekerjaan antarabangsa berjaya ditumpaskan Polis Melaka di sebuah kondominium di Taman Kota Laksmana pada 7 Februari lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada jam 10 pagi itu juga berjaya menangkap sembilan individu yang terlibat.
“Mereka yang ditahan berusia antara 26 hingga 43 tahun dipercayai ahli sindiket yang menyasarkan mangsa terdiri daripada rakyat sebuah negara di kepulauan Caribbean dengan menawarkan komisen dalam dolar Amerika Syarikat (USD).
“Modus operandi sindiket ini dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu kepada mangsa menerusi laman sosial Facebook dan mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket ini melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa kemudiannya akan diarahkan untuk membuat 32 jenis tugasan menerusi laman sesawang https://amcsthatres.com yang kononnya bertujuan untuk menaikkan jumlah maklum balas (review) terhadap hotel dan filem di negara kepulauan berkenaan.
“Setelah selesai tugasan pertama, mangsa yang berminat untuk meneruskan tugasan seterusnya akan diarahkan untuk membuat transaksi bayaran kepada ahli sindiket ini dan turut dijanjikan dengan komisen antara AS$70 (RM310.79) hingga AS$100 (RM444) bagi setiap tugasan yang berjaya dilakukan,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau berkata, selepas membuat bayaran, mangsa tidak dibayar komisen seperti dijanjikan dengan sindiket terbabit dipercayai memperoleh keuntungan berjumlah RM54,000 sebulan hasil daripada kegiatan berkenaan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis barangan dianggarkan berjumlah RM30,000 termasuk sebuah komputer riba, tujuh komputer meja dan 49 unit telefon bimbit pelbagai jenama.
Katanya, kesemua individu telah ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan tawaran gaji lumayan dan sentiasa menyemak kesahihan setiap iklan pekerjaan di laman sosial bagi mengelak menjadi mangsa,” ujarnya.
Baca juga: