Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan warga Indonesia yang diketuai oleh seorang ‘transporter’ dikenali sebagai ‘Jon’, berusia 42 tahun.
Jon ditahan di sebuah premis kediaman yang dijadikan sebagai rumah penampungan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penahanan Jon adalah hasil risikan selama dua minggu dan maklumat awam.
“Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan mengekori sebuah kenderaan yang mencurigakan.
“Ia digerakan menerusi Operasi Khas yang berlaku pada 11 November 2024 di sekitar Kajang, Selangor dan pasukan ini telah menahan kenderaan tersebut di sebuah premis kediaman,” ujarnya.
Beliau berkata, pasukan operasi turut menahan dua orang ahli sindiket yang merupakan lelaki warganegara Indonesia yang disyaki sebagai penjaga premis.
“Operasi ini berjaya menahan 21 lelaki dan lima perempuan warganegara Indonesia yang berusia antara 21 hingga 50 tahun dengan jumlah keseluruhan seramai 29 orang.
“Hasil semakan awal mendapati, 13 warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa manakala yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah,” jelasnya.
Katanya, sebanyak RM13,430.00 telah dirampas, 14 naskah pasport Indonesia dan kenderaan jenis Toyota Vios yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI turut disita.
“Modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.
“Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap orang dan telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.
Zakaria menegaskan bahawa JIM akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan,” katanya.
Untuk info, ‘transporter’ merujuk kepada individu atau pihak yang bertanggungjawab mengangkut atau memindahkan migran atau barang dari satu tempat ke tempat lain, dalam konteks ini, ia merujuk kepada orang yang membantu atau terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran secara haram.
Baca lagi.