KUALA LUMPUR: Dua sindiket warga asing yang menawarkan perkhidmatan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tumpas dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di ibu negara, Khamis lalu.
Sindiket yang dikenali sebagai Zakeer dan Shaheed itu dipercayai aktif lebih setahun, menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang bagi mengaut keuntungan mudah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 12.05 tengah hari di sebuah pejabat di Jalan Pudu, membawa kepada penahanan tiga lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun.
“Mereka dipercayai ahli sindiket Zakeer yang menawarkan perkhidmatan pembaharuan PLKS dengan bayaran antara RM2,500 hingga RM6,000 bagi setiap permohonan,” katanya.
Pemeriksaan turut menemui 130 pasport Bangladesh, tiga pasport Indonesia dan tiga telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
Pada serbuan kedua jam 7.09 malam di Ampang Baru, tiga lagi individu ditahan – dua warga Pakistan dan seorang warga Myanmar, dipercayai terlibat dengan sindiket Shaheed.
“Seorang suspek memiliki PLKS sektor pembersihan, seorang tinggal melebihi tempoh, manakala suspek Myanmar memiliki kad UNHCR,” katanya.
Turut dirampas, satu pasport masing-masing milik warga Pakistan, Vietnam, Myanmar, Bangladesh dan Sri Lanka, 24 pelekat Malaysia Pass (Malpass) yang disyaki palsu serta lima telefon bimbit.
Modus operandi sindiket Shaheed adalah menawarkan perkhidmatan pengurusan PLKS dengan bayaran antara RM80 hingga RM500.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Zakaria berkata, tindakan tegas akan diteruskan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang melibatkan warga asing di negara ini.
Baca juga: