KUCHING: Helah sindiket dadah yang menggunakan kenderaan sebagai ‘stor bergerak’ untuk mengedarkan bekalan haram berjaya dipatahkan pihak polis menerusi satu operasi khas di Kota Sentosa pada 19 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, CP Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi yang dijalankan bersama JSJN Sarawak pada jam 8.50 malam itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 27 tahun yang sedang berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza.
Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal tahun dan menggunakan kaedah meninggalkan kenderaan berisi dadah di lokasi tertentu dalam keadaan tidak berkunci bagi membolehkan pembeli mengambil sendiri bekalan tanpa sebarang interaksi fizikal.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan itu membawa kepada penemuan satu beg hitam dan tiga kotak keperangan yang mengandungi 80 bungkusan bertulisan ‘Guan Yin Wang’ berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang media semalam.
Tambah beliau, rampasan keseluruhan dianggarkan seberat 83 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM3.07 juta – jumlah yang mampu merosakkan seramai 415,000 individu.
Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM1,100 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM3.072 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak berkuasa turut giat memburu saki-baki ahli sindiket yang masih bebas.
Baca juga: