Sindiket Syabu Tumpas Di Kelantan, Dadah Bernilai RM6.55 Juta Dirampas

KOTA BHARU: Satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak Julai lalu berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam satu serbuan di Pasir Mas pada 25 Ogos lepas.

Dalam operasi tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan, membawa kepada penemuan mengejutkan sebanyak 204.24 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dibungkus rapi dalam plastik teh Cina berjenama ‘Jin Xuan Tea’ dan ‘Number One’.

Rampasan itu ditemui di kawasan semak berhampiran sebuah kampung, dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM6.53 juta.

Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, jumlah dadah yang dirampas itu berpotensi menjejaskan lebih 1.02 juta individu sekiranya terlepas ke pasaran.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan pengkalan haram di Rantau Panjang sebagai laluan masuk bekalan dari luar negara, sebelum dipunggah ke dalam kenderaan dan disembunyikan di kawasan semak untuk diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.

“Suspek yang ditahan turut didapati positif methamphetamine dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya.

Dalam tindakan susulan, pihak polis turut menyita beberapa aset milik suspek termasuk sebuah Proton Persona, sebuah van Ford Econovan dan wang dalam akaun bank, dengan nilai sitaan berjumlah RM15,708.75.

“Jika digabungkan, jumlah rampasan dan sitaan keseluruhan mencecah RM6.55 juta.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.

Menurut Hussein, suspek telah direman selama 14 hari bermula 26 Ogos hingga 8 September bagi membantu siasatan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah.

“Kejayaan ini hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan disambut oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan, DCP Mohd Ali Tamby sebelum berkongsi kejayaan operasi besar itu kepada media.

Anda Mungkin Berminat