KUALA LUMPUR: Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan memuji usaha Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyatukan pendirian ASEAN berhubung krisis Myanmar.
Dalam catatan di Facebook, Dr. Vivian mengiktiraf kejayaan Malaysia mengekalkan saluran komunikasi langsung dengan pihak berkepentingan utama di Myanmar, termasuk Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG).
“Saya memuji Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim kerana berjaya menyatukan pendirian ASEAN dan mengekalkan hubungan langsung dengan SAC serta NUG,” katanya.
Sebelum ini, Anwar telah mengadakan dialog berasingan dengan pemimpin SAC dan NUG sebagai langkah penting bagi menggalakkan penglibatan langsung antara dua pihak yang berkonflik.
Selain itu, Dr. Vivian turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjadi tuan rumah mesyuarat-mesyuarat ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KCC) minggu ini.
Beliau menegaskan bahawa Singapura memberikan sokongan penuh kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Dalam situasi global yang penuh cabaran ini, kita mesti terus memperkukuh kerjasama serantau, mempererat hubungan dan membina ASEAN yang lebih berdaya tahan serta inklusif,” ujar beliau.
Baca juga: