Singapura sekat hantaran Facebook pemimpin PAS, dakwa hasut pilihan raya

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Singapura telah menyekat hantaran Facebook beberapa pemimpin PAS atas dakwaan cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya di negara itu.

Dalam kenyataan bersama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura menegaskan bahawa politik negara itu harus ditentukan sepenuhnya oleh rakyatnya tanpa campur tangan luar.

“Kita tidak boleh mencampuradukkan agama dan politik.

“Singapura merupakan negara sekular. Kerajaan berkhidmat untuk semua rakyat Singapura secara sama rata,” kata kenyataan tersebut.

Antara pemimpin PAS yang disekat termasuk Bendahari Agung PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, yang dipercayai menyatakan sokongan kepada calon pembangkang Faisal Abdul Samad dari Parti Pekerja serta Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohammed Sukri Omar, yang didakwa berkongsi semula hantaran tersebut.

Oleh itu, pihak berkuasa Singapura telah mengarahkan Meta, syarikat induk Facebook, untuk menyekat akses kepada beberapa hantaran di media sosial yang dibuat oleh pemimpin PAS menjelang pilihan raya di negara itu.

Dalam kenyataan balas, Mohamed Sukri berkata, beliau menghormati sepenuhnya kedaulatan dan undang-undang Singapura.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa tindakannya bertujuan mengganggu proses demokrasi di negara itu.

“Seruan dan keprihatinan saya bukan bertujuan mencampuri urusan pilihan raya, tetapi adalah sebahagian daripada tanggungjawab moral saya sebagai seorang Muslim dan insan yang prihatin terhadap nasib masyarakat Melayu-Islam di Singapura,” katanya.

Sukri turut menegaskan bahawa usaha membela keadilan, maruah dan masa depan sesuatu bangsa bukanlah campur tangan asing jika dilakukan dengan adab, prinsip dan cinta kepada kemanusiaan.

Beliau menyeru masyarakat Melayu Singapura untuk terus berjuang secara berhemah, memperkukuhkan pendidikan, memperkasakan ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan negara mereka.

“Akhir sekali, saya memohon agar semua pihak melihat seruan ini dalam kerangka kasih sayang kepada bangsa dan kemanusiaan, bukan dengan lensa syak wasangka politik yang sempit,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat