Sisatan Terhadap Wanita ‘Terjah’ Pentas Masih Berjalan – Polis

IPOH: Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak yang berlangsung pada 5 September lalu digemparkan dengan satu insiden luar jangka apabila seorang wanita Melayu secara tiba-tiba memanjat pentas utama ketika acara sedang berlangsung.

Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah mengenal pasti dan menahan wanita berkenaan untuk siasatan lanjut.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, suspek ditahan di bawah Seksyen 323/511 Kanun Keseksaan dan telah direman selama empat hari bermula 6 September 2023.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan masih diteruskan dan menyeru orang ramai agar tidak membuat andaian yang boleh menjejaskan proses siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menyebarkan maklumat yang tidak sahih,” katanya.

Kenyataan tersebut hadir di tengah-tengah pelbagai teori dan dakwaan yang berlegar di media sosial termasuk persoalan mengenai motif dan latar belakang individu terbabit.

Pihak polis mengingatkan bahawa penyebaran maklumat tidak tepat bukan sahaja boleh mengganggu siasatan, malah berpotensi menjejaskan ketenteraman awam.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mendedahkan maklumat lanjut mengenai suspek atau sebab sebenar tindakan tersebut.

Orang ramai diminta untuk menunggu perkembangan rasmi daripada pihak polis dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak disahkan.

Anda Mungkin Berminat