Oleh: Aliyaa Azmi
JOHOR BAHRU: Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus melangkah seiring kemajuan teknologi dengan memperkenalkan Sistem Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK), satu platform digital tertutup yang memperkukuh pengurusan keahlian dan dokumentasi secara lebih tersusun antara peringkat negeri dan pusat.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, walaupun tidak semua anggota mempunyai kepakaran teknologi, mereka perlu segera menyesuaikan diri dengan arus perubahan digital.
“Kadang-kadang 10 kali bagi kata laluan pun kita boleh terlupa, tapi tak boleh (terus begitu) kerana rempuhan teknologi ini memerlukan kita bersama menguasai dengan jauh lebih cepat,” katanya.
Menurut beliau, Ketua Wanita Cabang serta barisan kepimpinan wanita telah berjaya menguasai sistem ini dengan baik.
“Maka laporan-laporan mesyuarat Cabang dapat dikumpulkan dengan sangat baik, malah Mesyuarat Agung juga telah berjaya dilaksanakan dengan sangat baik hasil daripada komitmen anda semua,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan uacapan dasar Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR Ke-18 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Danga Bay, hari ini.








