Sistem Audit Perlu Lebih Mesra Rakyat – Anwar

PUTRAJAYA: Sistem pengauditan negara harus dilihat sebagai mekanisme yang membantu rakyat, bukannya menekan serta berperanan membina keyakinan terhadap pengurusan kewangan dan tatakelola negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menekankan bahawa pengauditan merupakan elemen penting bagi memastikan keseluruhan sistem pengurusan negara kekal telus, bertanggungjawab dan berkesan, selari dengan amanah awam dalam mengurus kepentingan rakyat.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Isnin.

Menurut beliau, usaha pendigitalan serta penambahbaikan berterusan dalam sistem audit telah meningkatkan kecekapan institusi berkenaan.

Langkah itu bukan sahaja memperkukuh keyakinan masyarakat, malah menjadi benteng penting dalam membanteras ketirisan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Audit perlu dirasakan sebagai sesuatu yang membantu dan lebih dekat dengan rakyat, mudah difahami serta membina kepercayaan.

“Apabila rakyat memahami peranan audit dalam melindungi hak mereka dan memastikan wang awam diurus secara amanah, keyakinan akan meningkat,” katanya.

Tambah Anwar, dengan sokongan semua pihak, sistem pengauditan yang dinamik dan berintegriti bukan sahaja memperkemas pentadbiran, malah memastikan negara bergerak ke hadapan secara lebih adil, telus dan bermaruah.

Anda Mungkin Berminat