Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Proses pelantikan Ketua Hakim Negara secara jelasnya sentiasa dilaksanakan secara telus serta mengikut lunas undang-undang.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Srikandi Keadilan Malaysia, Nur Hidayah Che Rose yang turut menjelaskan bahawa menurut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Ketua Hakim Negara dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas mempertimbangkan syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
“Proses ini telah lama diamalkan dengan telus dan berperlembagaan,” menurut kenyataan itu.
Srikandi Keadilan turut menolak dakwaan bahawa ketiadaan Ketua Hakim Negara boleh menyebabkan sistem kehakiman negara “lumpuh”, sambil menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.
“Berdasarkan Perkara 122(2), Mahkamah Persekutuan masih boleh bersidang selagi mempunyai bilangan hakim yang mencukupi,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambah mereka, sistem kehakiman Malaysia kekal berfungsi melalui struktur yang tersusun merangkumi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret yang terus beroperasi seperti biasa.
Sehubungan itu, mereka menyeru agar semua pihak menghormati keluhuran Perlembagaan dan tidak mempolitikkan institusi kehakiman demi kepentingan tertentu.
“Srikandi Keadilan menyeru semua pihak, termasuk Ahli Parlimen dan pemimpin politik
agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan awam.
“Jangan sesekali mempermainkan isu pelantikan kehakiman untuk tujuan politik sempit.
“Kita wajib memelihara kredibiliti institusi kehakiman, bukan merosakkannya demi agenda peribadi,” katanya.
Pada masa sama, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang turun menyertai ‘Perarakan Aman Badan Peguam Malaysia’ pada Isnin yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
“Perarakan ini berlangsung dalam suasana tertib dan berdisiplin menandakan kematangan politik rakyat Malaysia dalam menyuarakan pandangan secara demokratik,” ujarnya.
Baca juga:








