PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM) bermula tahun hadapan, sebagai langkah meringankan beban warga pendidik di seluruh negara.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menerusi satu kenyataan ringkas di laman rasmi Facebook beliau pada Ahad.
Tindakan tersebut, jelasnya, akan dilaksanakan sepenuhnya oleh KPM sebagai usaha memberi ruang dan kepercayaan kepada guru dalam memenuhi ketetapan yang ditetapkan kementerian.
“KPM mansuhkan Sistem SPLKPM tahun hadapan. Sepenuh kepercayaan diberi kepada guru,” katanya.
SPLKPM sebelum ini merupakan sebuah platform dalam talian yang dibangunkan oleh KPM bagi mengurus, memantau dan merekodkan semua aktiviti Latihan Dalam Perkhidmatan untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).
Portal sehenti itu digunakan oleh guru dan pentadbir sekolah untuk merekod serta menyemak status kursus atau latihan yang dihadiri, sekali gus memenuhi keperluan pembangunan profesionalisme berterusan (CPD).
Melalui sistem tersebut, setiap guru disasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya lima hari berkursus dan mengumpul 42 mata kredit setiap tahun.
Namun, pemansuhan SPLKPM dijangka memberi kelegaan kepada warga pendidik yang sebelum ini berdepan dengan bebanan dokumentasi dan keperluan teknikal.








