Sister In Islam menang rayuan batalkan fatwa Selangor isytihar mereka sesat

Oleh: Tyah Helmi

PUTRAJAYA: Sister In Islam (SIS) Forum Malaysia menang dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini bagi membatalkan semula fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap kumpulan itu pada 2014.

Keputusan tersebut diputuskan secara bersama oleh barisan panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini menerusi penghakiman majoriti 3-1 yang membenarkan rayuan akhir SIS Forum untuk mencabar keabsahan fatwa berkenaan.

“Berdasarkan alasan-alasan yang kami nyatakan di dalam penghakiman penuh, kami mengetepikan keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan membenarkan rayuan perayu-perayu setakat mana ia berkait dengan pemakaian fatwa tersebut kepada pertubuhan dan institusi dan setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan (perintah terperinci adalah sebagaimana diperturunkan di dalam alasan penuh penghakiman),” kata Tengku Maimun.

Berdasarkan, ringkasan penghakiman, SIS merupakan sebuah induk syarikat dan hasil dapat barisan panel hakim mendapati sesebuah syarikat tidak boleh menganut agama Islam untuk ia diklasifikasikan secara sah sebagai orang-orang yang menganut agama Islam dalam ungkapan Butiran 1.

“Dengan ini adalah dapatan kami bahawa sesebuah syarikat tidak boleh ‘menganut’ agama Islam untuk ia diklasifikasikan secara sah sebagai ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ dalam ungkapan Butiran 1.

“Dalam konteks ini, perlu dinyatakan di sini bahawa kami mendapati tidak timbul keperluan untuk menyingkap tabir perbadanan (lifting of corporate veil) kerana sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi semestinya digerakkan oleh individu-individu.

“Mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan 1 dan 4,” ujarnya.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, dan Datuk Abu Bakar Jais.

Difahamkan, SIS diwakili oleh Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, manakala kerajaan Selangor diwakili Penasihat Undang-undang Negeri, Salim Soib.

Jawatankuasa Fatwa Selangor pula diwakili oleh peguam Haniff Khatri Abdulla dan Zainul Rijal Abu Bakar. Manakala MAIS pula diwakili oleh peguam Yusfarizal Yussof.

Sebelum ini, SIS memfailkan rayuan bagi mencabar semula fatwa yang dikeluarkan oleh MAIS pada 2014 bahawa NGO itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam kerana didakwa ia berpegang kepada pegangan liberalisme dan pluralisme.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat