Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendesak pihak berkuasa melaksanakan siasatan jujur dan menyeluruh bagi mendapatkan keadilan buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menerusi kenyataan media hari ini, kumpulan pelajar Sabah tersebut mahu kebenaran didedahkan tanpa sebarang campur tangan demi keadilan untuk pelajar berusia 13 tahun itu dan keluarganya.
“Kami merakamkan rasa simpati dan tingkat tertinggi kepada keluarga arwah dan mangsa yang telah menjadi mangsa buli tragis sehingga membawa kepada kehilangan nyawanya yang tidak ternilai di SMK Agama Tun Datu Mustapha, Papar.
“Kejadian ini bukan sahaja meninggalkan duka yang serius kepada keluarga, malah menjadi indikasi jelas akan permasalahan serius buli dalam institusi pendidikan kita yang memerlukan perhatian dan tindakan segera, katanya.
Dalam pada itu, mereka turut menuntut Reformasi sistem pendidikan berasrama untuk lebih berkesan dalam menangani isu buli, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), perlindungan pengadu dan pemberi maklumat serta program pendidikan kesedaran buli yang menyeluruh.
“Kepada keluarga Zara Qairina, kami bersolidariti dan berdoa agar kalian diberi ketabahan menghadapi dugaan ini.
“Suara Mahasiswa UMS akan terus memantau perkembangan kes ini dan memberi sokongan moral serta advokasi terhadap perubahan sistemik dalam pendidikan,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan jenazah pelajar Tingkatan Satu yang maut selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah di Papar, Sabah, dijangka digali untuk bedah siasat.
Baca juga:








