Siti Nurhaliza Anjur Kelas Mengaji Percuma Anak B40 Melalui Jiwa Quran

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terus membuktikan bahawa sumbangannya kepada masyarakat tidak terhenti di pentas seni.

Melalui inisiatif Jiwa Quran di bawah Yayasan Nurjiwa, beliau kini membuka ruang pendidikan Al-Quran secara percuma kepada anak-anak daripada keluarga B40 di sekitar Lembah Klang.

Program Jiwa Quran bukan sekadar kelas mengaji tetapi satu usaha mendalam untuk membentuk akhlak dan mendekatkan generasi muda dengan nilai-nilai Islam.

Menurut Siti, setiap sesi dirancang agar anak-anak bukan sahaja mampu membaca Al-Quran tetapi juga menghayati maknanya dalam kehidupan seharian.

“Melalui Jiwa Quran, kami ingin melahirkan generasi yang bukan hanya mampu membaca Al-Quran tetapi juga menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Program itu dikendalikan oleh guru-guru bertauliah dan kini dijalankan di beberapa lokasi termasuk Surau Bukit Mulia di Bukit Antarabangsa, PPR Sri Anggerik, PPR Desa Rejang, PPR Sungai Sering serta beberapa institusi tahfiz lain di sekitar Lembah Klang.

Siti turut berkata, komitmen Yayasan Nurjiwa untuk memperluaskan program tersebut ke lebih banyak kawasan agar lebih ramai anak-anak dapat menikmati manfaat pendidikan Al-Quran secara percuma.

Yayasan Nurjiwa yang diasaskan oleh Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, sebelum ini aktif dalam pelbagai program kebajikan termasuk bantuan makanan, pendidikan dan kesihatan kepada golongan memerlukan di seluruh negara.

Anda Mungkin Berminat