PETALING JAYA: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal menjadi tumpuan ribuan peminat apabila akan tampil membuat persembahan langsung dalam Persembahan Pembukaan Ukhuwah Rakyat MADANI KPN sempena Program Rancakkan MADANI di Dataran Putrajaya, Ahad ini, 7 Disember 2025.
Persembahan yang dijadual berlangsung dari pukul 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Pentas Utama itu dijangka menjadi detik istimewa buat peminat yang jarang berpeluang menyaksikan kemunculan Siti dalam acara berskala besar di Putrajaya.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu menjadi pentas bersejarah yang menghimpunkan rakyat pelbagai lapisan untuk meraikan seni dan semangat MADANI dalam suasana penuh kebersamaan.
“Acara ini adalah detik istimewa yang menghimpunkan rakyat, seni dan nilai MADANI yang penuh makna,” menurut penganjur dalam satu kenyataan ringkas.
Orang ramai disarankan hadir lebih awal bagi menikmati pelbagai aktiviti sampingan serta kemeriahan di lokasi sebelum persembahan utama bermula.

Antara pengisian yang menanti pengunjung termasuk pameran, demonstrasi seni dan persembahan komuniti yang akan menghidupkan suasana meriah di Dataran Putrajaya.
Program Rancakkan MADANI merupakan inisiatif kerajaan untuk mengangkat seni, budaya dan perpaduan sebagai asas pengukuhan masyarakat.
Acara itu melengkapkan rangkaian penganjuran sepanjang tahun yang bertujuan menyemai nilai #BersamaMalaysiaku dalam kalangan rakyat.








